Bijak Berbelanja Pengguna Bestari
Aktiviti membeli-belah memang
menyeronokkan. Apatah lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak yang
membolehkan kita membeli apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai.
Malah ada orang yang menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti wajib
yang mesti dilakukan sebaik sahaja menerima upah atau gaji pada setiap bulan.
Pengeluar barangan dan perkhidmatan
sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk dan barangan dengan
tawaran yang cukup mengasyikkan pengguna. Tambah mengujakan pengguna, tentulah
lambakan tawaran daripada pelbagai barangan berjenama di pasaran. Siapa yang
tidak tergoda apabila melihat tawaran harga barangan berjenama yang menjunam
sehingga 70 peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk
perkhidmatan kad kredit untuk memudahkan pengguna berbelanja. Namun, yang
membimbangkan ialah apabila keseronokan membeli-belah menyebabkan pengguna
akhirnya tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya terjerumus
ke dalam beban hutang yang tidak disangka-sangka.
Walaupun aspek ekonomi merupakan
komponen penting dalam kehidupan yang memberi peluang kepada setiap individu
meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih selesa, pengguna perlu
mengawal diri ketika berbelanja. Pengguna perlu bijak mengawal kewangan supaya
tidak terperangkap dalam beban hutang yang dicipta sendiri dengan cara
mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini penting supaya pengguna dapat
menjalani kehidupan yang benar-benar berkualiti. Pengguna yang terjerat dengan
masalah hutang sehingga jatuh bangkrap atau muflis sebenarnya dikatakan telah
menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri.
Sementara itu, Indeks Kualiti
Kehidupan mencatatkan Malaysia di tangga 36 dalam kalangan 111 negara di dunia.
Indeks ini mengambil kira kesihatan, kehidupan keluarga, kehidupan masyarakat,
kestabilan politik, pendapatan per kapita dan kuasa beli, kebebasan politik,
iklim, keselamatan pekerjaan, dan layanan yang sama bagi lelaki dan wanita.
Menurut Unit Perancang Ekonomi,
pendapatan membolehkan individu menampung perbelanjaan bagi diri serta keluarga
mereka manakala agihan pendapatan pula menggambarkan kesaksamaan dan pengagihan
sumber ekonomi. Komponen pekerjaan atau status ini memberi ganjaran kepada
individu melalui pemilikan tempat kediaman, kenderaan, pakaian atau makanan.
Kenaikan harga barang keperluan,
seperti gula, beras, minyak masak dan tepung serta harga gas dan petroleum
menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna semakin meningkat. Hal
ini menyebabkan nilai ringgit yang diterima daripada pendapatan bulanan semakin
mengecil sedangkan kos yang terpaksa ditanggung semakin banyak dan terus
meningkat.
Bagi mengatasi masalah ini dan
seterusnya mengurangkan beban yang harus ditanggung, pengguna perlu menjadi
pengguna yang bijak dalam mengurus kewangan. Pengguna yang bijak ialah pengguna
yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal
perbelanjaan mereka. Untuk itu, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu
kewangan yang dapat membantu pengguna menguruskan kewangan peribadi mereka
dengan baik dan berkesan.
Antara yang perlu dilakukan
termasuklah merubah corak perbelanjaan harian pengguna dan merancang
perbelanjaan demi masa depan yang baik. Perancangan kewangan yang baik dan
pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu pengguna berbelanja mengikut
keperluan dan tidak membebankan.
Sehubungan dengan hal itu, pengguna
perlu menetapkan sasaran dalam menentukan belanjawan bagi mengelakkan
perbelanjaan yang tidak diperlukan. Pengguna perlu sentiasa menyediakan senarai
barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan pengguna
membeli barangan yang tidak diperlukan. Untuk itu, pengguna perlu
mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan.
Pengguna juga boleh merangka sistem
pendapatan dengan mencampurkan pendapatan suami dan isteri, dan pendapatan lain
yang diterima dan kemudiannya memasukkan pendapatan tersebut dalam satu akaun
khas setelah ditolak perbelanjaan lain yang perlu diselesaikan. Misalnya
bayaran untuk pinjaman rumah, kereta, bil air dan elektrik, yuran persekolahan
anak, perbelanjaan keperluan rumah atau minyak kenderaan supaya dapat mengawal
perbelanjaan. Kemudian catatkanlah jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan
supaya pengguna dapat mengetahui ke manakah wang tersebut telah dibelanjakan.
Pengguna juga perlu menetapkan sasaran kewangan, seperti penetapan sasaran
jangka pendek dan sasaran jangka panjang.
Penetapan sasaran kewangan ini
penting kerana dapat membantu pengguna menentukan belanjawan diri atau keluarga
dengan lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, mengurangkan perbelanjaan
menonton wayang dengan menonton cakera video digital (DVD) di rumah sebagai
sasaran jangka pendek. Menetapkan sasaran jangka panjang pula bermakna sebagai
contoh, melangsaikan hutang yang sedia ada terlebih dahulu atau menyimpan wang
secara bulanan untuk membeli barangan yang diinginkan secara tunai dan bukan
secara hutang.
Belilah barangan atau perkhidmatan
yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Misalnya ketika musim perayaan
yang menawarkan pelbagai potongan harga yang menarik bagi mendapatkan lebih
penjimatan. Selain itu, pengguna juga perlu sentiasa membuat pemantauan harga
dan membandingkan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh
pengeluar atau penjual yang berbeza. Dengan cara ini pengguna dapat membeli
barangan yang sama dengan harga yang lebih murah.
Selain itu, elakkan membeli-belah
dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika pengguna berada dalam keadaan yang
tidak tenteram. Hal ini dikatakan demikian kerana berbelanja dalam suasana
begini akan mendorong pengguna untuk membeli barangan yang tidak diperlukan dan
seterusnya akan merugikan pengguna.
Pemantauan terhadap setiap
perbelanjaan perlu dilakukan supaya dapat mengawal pengguna daripada berbelanja
barangan yang tidak perlu. Oleh itu, pengguna perlulah menjadi pengguna yang
bijak bagi mengurus kewangan dengan lebih baik dan berkesa
No comments:
Post a Comment